Diambil dari keratan akhbar Mingguan Malaysia (14hb. Disember 2008).
Tulisan awang tentang selamatkan bola sepak Malaysia dalam ruangan ini, minggu lalu mendapat banyak reaksi. Lebih-lebih lagi beberapa hari selepas tulisan itu, harapan untuk melihat pasukan bola sepak kita menyerlah di Piala AFF Suzuki, berkecai.
Kegagalan itu menambahkan rasa kecewa rakyat Malaysia yang sudah menunggu lebih dua dekad untuk melihat kebangkitan pasukan negara.
Kegagalan di Piala Suzuki selepas tewas 2-3 kepada Vietnam dan 0-3 kepada Thailand, mengundang gelombang reaksi yang lebih panas terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih dan para pemain.
Malah ada yang mengkritik Presiden FAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana nasib pasukan negara masih belum berubah di bawah kepimpinannya.
Lalu dibangkitkan persoalan wajarkah raja menerajui persatuan sukan seperti FAM?
Dalam konteks pencapaian bola sepak kita di arena antarabangsa, Awang secara peribadi merasakan FAM yang telah terlalu lama diberi peluang, memang patut dipertanggungjawabkan. Kalau ikut logik, persatuan itu perlu dirombak termasuk kedudukan presiden.
Tetapi ini bukan soal jawatan presiden semata-mata dan adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan dan beban kepada Sultan Ahmad Shah.
Baginda telah memberikan komitmen dan sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak yang tiada siapa boleh pertikaikan. Sebagai raja berjiwa rakyat, baginda telah mencemar duli mengabadikan diri untuk sukan popular itu dan menjana pendapatan untuk FAM.
Mungkin dalam hal ini, baginda kurang bernasib baik dan terpaksa berdepan dengan realiti di luar FAM yang semua harus fahami. Antaranya ialah kualiti generasi pemain baru yang tidak sehebat pemain dahulu dan kemerosotan pencapaian serta daya juang sukan di peringkat akar umbi lagi.
Lihatlah, pencapaian hampir kesemua sukan kita merosot termasuk badminton, hoki, olahraga, renang, lumba basikal dan boling.
Pun begitu, ada baiknya juga jika raja yang kita junjung tidak menerajui persatuan sukan terutama yang popular dan diikuti ramai seperti bola sepak, badminton dan hoki.
Dan adalah tidak wajar persatuan sukan membebankan institusi raja dengan isu-isu sensitif sukan dan kepincangan dalaman. Raja atau sultan juga tidak sepatutnya terdedah kepada kritikan keterlaluan semata-mata atas nama sukan.
Apa pun, Awang kagumi Sultan Ahmad Shah kerana menjadikan sukan bola sepak sebagai darah daging baginda. Bukan setakat itu, baginda berupaya meresap segala tekanan dan kritikan yang tidak mungkin sanggup dilalui bukan sahaja raja yang lain malah juga rakyat biasa.
Sunday, December 14, 2008
Subscribe to:
Posts (Atom)