Sunday, December 14, 2008

RAJA, bola dan persatuan sukan

Diambil dari keratan akhbar Mingguan Malaysia (14hb. Disember 2008).

Tulisan awang tentang selamatkan bola sepak Malaysia dalam ruangan ini, minggu lalu mendapat banyak reaksi. Lebih-lebih lagi beberapa hari selepas tulisan itu, harapan untuk melihat pasukan bola sepak kita menyerlah di Piala AFF Suzuki, berkecai.
Kegagalan itu menambahkan rasa kecewa rakyat Malaysia yang sudah menunggu lebih dua dekad untuk melihat kebangkitan pasukan negara.
Kegagalan di Piala Suzuki selepas tewas 2-3 kepada Vietnam dan 0-3 kepada Thailand, mengundang gelombang reaksi yang lebih panas terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), jurulatih dan para pemain.
Malah ada yang mengkritik Presiden FAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah kerana nasib pasukan negara masih belum berubah di bawah kepimpinannya.
Lalu dibangkitkan persoalan wajarkah raja menerajui persatuan sukan seperti FAM?
Dalam konteks pencapaian bola sepak kita di arena antarabangsa, Awang secara peribadi merasakan FAM yang telah terlalu lama diberi peluang, memang patut dipertanggungjawabkan. Kalau ikut logik, persatuan itu perlu dirombak termasuk kedudukan presiden.
Tetapi ini bukan soal jawatan presiden semata-mata dan adalah tidak adil untuk meletakkan kesalahan dan beban kepada Sultan Ahmad Shah.
Baginda telah memberikan komitmen dan sumbangan besar kepada pembangunan bola sepak yang tiada siapa boleh pertikaikan. Sebagai raja berjiwa rakyat, baginda telah mencemar duli mengabadikan diri untuk sukan popular itu dan menjana pendapatan untuk FAM.
Mungkin dalam hal ini, baginda kurang bernasib baik dan terpaksa berdepan dengan realiti di luar FAM yang semua harus fahami. Antaranya ialah kualiti generasi pemain baru yang tidak sehebat pemain dahulu dan kemerosotan pencapaian serta daya juang sukan di peringkat akar umbi lagi.
Lihatlah, pencapaian hampir kesemua sukan kita merosot termasuk badminton, hoki, olahraga, renang, lumba basikal dan boling.
Pun begitu, ada baiknya juga jika raja yang kita junjung tidak menerajui persatuan sukan terutama yang popular dan diikuti ramai seperti bola sepak, badminton dan hoki.
Dan adalah tidak wajar persatuan sukan membebankan institusi raja dengan isu-isu sensitif sukan dan kepincangan dalaman. Raja atau sultan juga tidak sepatutnya terdedah kepada kritikan keterlaluan semata-mata atas nama sukan.
Apa pun, Awang kagumi Sultan Ahmad Shah kerana menjadikan sukan bola sepak sebagai darah daging baginda. Bukan setakat itu, baginda berupaya meresap segala tekanan dan kritikan yang tidak mungkin sanggup dilalui bukan sahaja raja yang lain malah juga rakyat biasa.

Thursday, November 20, 2008

Skuad Bolasepak Kedah era 90' an


1990
Sejarah kegemilangan kedah bermula dengan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada tahun 1990 setelah menewaskan Singapura 3-1. Pengurus pasukan Kedah ketika itu adalah Arwahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil manakala Jurulatih adalah Milous Kvacek.


1993

Sekali lagi Kedah mencipta kegemilangan dengan menjadi Juara Berganda iaitu Liga Perdana dan Piala Malaysia di Tahun 1993. Pasukan Kedah ketika ini dibimbing oleh Jurulatih prolifik Robert Albert. Nama-nama seperti Olubunmi Adigun, Peter Neketein dan Tibor Szaban begitu popular di seluruh Negeri Jelapang Padi.

PULUN KEDAH PULUN !!!!!

Monday, September 8, 2008

Kegagalan Liga M anjuran FAM

Tak tahulah apa dah jadi pada Liga bolasepak Malaysia sekarang. Kalau kita masih ingat satu ketika dulu (Sekitar 1990 - 1995) , Liga Perdana Malaysia merupakan salah satu Liga yang popular di Asia.

Tetapi, dek kerana masalah rasuah bolasepak yang melanda pada ketika itu, Liga Malaysia merudum dari setahun ke setahun hingga sekarang dah jadi macam LIGA KAMPUNG dan FAM pun macam "syok sendiri".

Seingat saya, orang yang paling lantang menentang rasuah bolasepak ketika itu adalah Arwahyarham Dato Paduka Ahmad Basri Akil. Arwahyarham merupakan orang pertama yang membongkarkan rasuah bolasepak telah melanda Liga Perdana Malaysia. Ditambah pula ketika itu, pasukan Kedah merupakan Jaguh dalam Liga Perdana bersama Singapura. Arwahyarham juga menyarankan supaya Liga Perdana dihentikan seketika untuk FAM membuat siasatan rasuah.

Malangnya apa yang FAM lakukan. Keangkuhan kepimpinan FAM ketika itu yang tidak mahu menerima cadangan orang lain selain dari sekutu mereka. Akibatnya, terbuktilah rasuah bolasepak melingkupkan Liga Perdana Malaysia. Hampir lebih 90 orang pemain tempatan dan import disabitkan kesalahan menerima rasuah.

Keputusannya pasukan Singapura menjuarai Liga Perdana dan Piala Malaysia untuk tahun 1994. Tahun berikutnya, Singapura tarik diri dari Liga Bolasepak Malaysia. Kesimpulannya, siapa penaja rasuah bolasepak? kenapa Singapura tarik diri? Apakah FAM tidak sedar ketika itu?

Sejak itu, peraturan perjalanan dan format Liga Malaysia mula menjadi seperti yo-yo dari setahun ke setahun. Antaranya adalah;

1) Pengharaman penggunaan jurulatih import ( kerana Pahang layak ke Final Piala Malaysia melalui Jurulatih tempatan ' Yunus Alif ' )
2) Mengurangkan penggunaan pemain import dari 3 kepada 2 orang sahaja.
3) Menggunakan 2 pengadil dalam padang ( Malaysia hanya layak dijadikan eksperimen oleh FIFA )
4) Memperkenalkan Liga Super 8 pasukan dan perlawanan 3 kali semusim ( Tak pernah dibuat orang )
5) Liga Super 8 pasukan ditukar pulak kepada 13 pasukan.
6) Dan akhir sekali, Format terkini untuk musim depan adalah PENGHARAMAN PENGGUNAAN PEMAIN IMPORT.

Diharap anda dapat memberi idea-idea dan komen-komen bernas kepada saya untuk saya muatkan dalam artikel saya nanti. Demi kemajuan Bolasepak Malaysia.

Masalah utama bolasepak Malaysia

Saya terpanggil untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati saya dan seluruh peminat bolasepak Malaysia tentang hala tuju bolasepak Malaysia sekarang. Dari sehari ke sehari kemerosotan yang ketara ditunjukkan bukannya peningkatan. Dalam hal ini, saya 90% menyalahkan FAM yang sememangnya bertanggungjawab penuh dalam pengurusan bolasepak Malaysia.
Di dalam ranking FIFA untuk bulan September, Malaysia berada di tempat 161 bersama St. Lucia. Adakah ia satu yang memalukan? Apa FAM lakukan? Di sini saya dedahkan perkara-perkara yang dilakukan oleh FAM yang sememangnya tak dapat diterima peminat bolasepak Malaysia;

1) Pucuk pimpinan yang sudah tidak dapat menyumbangkan idea pembangunan bolasepak masih kekal dalam FAM. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin kanan yang hanya pandai membodek. Mereka ini hanya pandai berpolitik sebaliknya kurang berpengetahuan dalam bidang bolasepak.

2) Menyingkirkan Arwahyarham Dato' Ahmad Basri Akil dari terlibat dalam kepimpinan FAM. Inilah sifat 'bodoh sombong' yang ditunjukkan oleh kepimpinan FAM. Arwahyarham merupakan pejuang sebenar dalam pembangunan bolasepak Malaysia terutamanya pasukan Kedah.

3) FAM tidak mempunyai pendirian yang teguh di dalam satu-satu ketetapan. Lihat saja, apa dah terjadi pada LIGA MALAYSIA. Saya masih ingat, sejak era Liga semi-pro lagi telah berlaku macam-macam pertukaran format dalam Liga Malaysia. Terkini adalah tiadanya pemain import untuk Liga musim depan. ( Isu ini akan saya ulaskan dalam artikel akan datang)

Sebenarnya, masih banyak lagi kelemahan yang dilakukan oleh FAM yang menghancurkan pembangunan bolasepak Malaysia.

Sila berikan ulasan anda tentang artikel ini. Saya yakin anda semua adalah peminat yang sayangkan bolasepak Malaysia.